Ku Li
Ku Li
Nor Fazlina Abdul Rahim

PAKATAN pembangkang sukar untuk menubuhkan kerajaan sekiranya memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) esok, kerana mereka tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, walaupun mereka bertanding menggunakan lambang sama, namun mereka tetap dari parti berbeza.

Katanya, Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang cukup berbeza kerana secara jelas BN berada di bawah satu payung berbanding mereka yang mempunyai dasar berlainan.

“Kalau sampai ke peringkat mahu tubuh kerajaan nanti, kumpulan manakah yang akan dijemput oleh Yang di-Pertuan Agong nanti.

“Justeru, rakyat perlu berfikir secara terbaik. Jika BN menang 100 kerusi, ia tidak boleh disamakan dengan pakatan yang menang 100 kerusi kerana mereka berlainan parti.

“Berfikirlah secara mendalam dan tidak boleh ambil kumpulan berdasarkan jumlah parti yang ramai kerana ia perlu sah di sisi undang-undang,” katanya ketika sidang media di kediamannya di Kota Bharu, malam ini.

Dalam perkembangan lain ketika mengulas kenyataan penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh, Datuk Nozula Mat Diah yang mendakwa satu kerusi DUN di Gua Musang akan tewas esok, Tengku Razaleigh berkata kenyataan Nozula tidak menjejaskan kawasan berkenaan.

“Kita yakin rakyat masih terus menyokong BN dan saya tidak tahu kenapa Nozula mengeluarkan kenyataan seperti itu, sedangkan isu dia tidak dicalonkan dianggap sudah selesai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mei 2018 @ 11:49 PM