Orang awam menutup muka dengan tangan bagi melindungi diri dari cuaca panas. FOTO Aizuddin Saad.
Orang awam menutup muka dengan tangan bagi melindungi diri dari cuaca panas. FOTO Aizuddin Saad.
Mohd Roji Kawi


Kuching: Cuaca panas dijangka berterusan di hampir seluruh negeri ini pagi esok meliputi Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit, Bintulu, Miri dan Limbang.

Bagaimanapun, mengikut portal Jabatan Alam Sekitar (JAS), cuba panas dijangka sedikit reda pada pagi Khamis apabila hujan diramal berlaku di satu dua tempat di Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu dan Mukah.

Ribut petir diramal berlaku pada tengah hari Khamis di satu dua tempat di Sri Aman, Sibu, Kapit, Bintulu, Miri dan Limbang pada tengah hari, manakala Kuching, Serian, Samarahan, Betong, Sarikei dan Mukah pula dijangka berlaku hujan.

Pada malam Khamis pula, hujan dijangka berlaku di Sri Aman, Sarikei, Sibu, Kapit, Bintulu, Miri dan Limbang manakala Kuching, Serian, Samarahan, Betong dan Mukah tiada hujan.

Cuaca panas berlarutan di kawasan Kuching sejak minggu lalu, selepas hujan lebat melanda menyebabkan banjir berlaku pada Jumaat lalu.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak kini bersiap sedia menghadapi kebakaran hutan dan semak susulan musim panas melampau di beberapa kawasan di negeri ini.

Pengarahnya, Khirudin Drahman berkata, menara tinjau mula dibuka dan kawalan masuk kawasan hutan yang mudah terbakar turut dipertingkatkan.

Beliau berkata, peralihan Monsun Timur Laut berlaku pada akhir bulan Februari dan permulaan musim panas bulan Mac hingga awal Mei.

"Cuaca panas dan angin dari laut pada siang hari dan keadaan kering akan menyebabkan kawasan semak samun kering dan mudah terbakar.

"Bagaimanapun perkara ini perlu dipantau oleh pihak berkuasa tempatan, syarikat-syarikat ladang besar dan individu yang mula bercucuk tanam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mac 2021 @ 1:54 PM