GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Zarina Abdullah


MENYEDARI kepentingan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi, pengurusan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) memberi pelepasan khas kepada 4,112 penuntutnya untuk pulang mengundi, 9 Mei ini.

Malah, pengurusan menambah cuti pelepasan pada 8 dan 10 Mei, selain cuti khas (9 Mei) untuk membolehkan penuntut memilih kerajaan yang layak mencorak negara.

Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Ahmad Zubaidi A Latif berkata, kebenaran pelepasan itu bukti pihaknya menggalakkan penuntut menunaikan tanggungjawab mereka selaku pemilih yang sah.

“Walaupun mereka diberikan cuti dua hari iaitu sebelum dan selepas hari mengundi, tetapi kelas yang tertangguh mestilah diganti sebaik sahaja mereka pulang ke kampus.

“Mana-mana kelas dan aktiviti yang terbabit pada dua tarikh itu wajib diganti semula mengikut kesesuaian jadual pengajaran yang disediakan pihak pengurusan,” katanya ketika ditemui pada majlis Perasmian Seminar Pengurusan Hospital Kebangsaan 2018, di Dewan Perdana, hari ini.

Dr Ahmad Zubaidi berkata, rekod universiti menunjukkan 4,112 penuntut UniSZA mendaftar sebagai pengundi untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kali ini.

Katanya, mengambil kira jumlah besar itu, pihaknya merasakan wajar untuk diberikan cuti berganti, malah langkah itu seiring konsep demokrasi negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 April 2018 @ 4:29 PM