ANGGOTA polis membawa mayat lelaki warga emas untuk bedah siasat.
ANGGOTA polis membawa mayat lelaki warga emas untuk bedah siasat.
Junaidi Ladjana

Kota Kinabalu: Lelaki warga emas ditemui mati terbaring di dalam tandas bangunan Pertubuhan Ugama Buddha di Batu 5, Jalan Tuaran, di sini, kelmarin.

Mayat Sai Lock See, 67, ditemui pengurus tokong berkenaan jam 11.30 malam sebelum menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra berkata, sebaik menerima maklumat kejadian itu, sepasukan anggota dihantar ke lokasi dan mangsa ditemui terbaring dalam tandas.

“Pasukan paramedik dari Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE 2) yang berada di lokasi mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Chandra berkata, pengurus tokong berkenaan memaklumkan mangsa tidak mempunyai waris dan selama tinggal di tokong itu tiada sesiapa yang melawatnya.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Orang ramai yang mengenali mangsa diminta membantu polis dengan memaklumkan kepada keluarga atau waris untuk pengurusan mayat.

“Selain itu, orang ramai boleh berhubung dengan balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendan Alimuddin Usman di talian 016-6656641,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 April 2018 @ 4:15 AM