LAPORAN portal berita Harian Metro, semalam.
LAPORAN portal berita Harian Metro, semalam.
Faliq Lajim


PELAJAR yang dipercayai merelakan dirinya dipukul ketika menyambut hari lahir di sebuah sekolah di Shah Alam sudah membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, mangsa membuat laporan di Balai Polis Seksyen 9, pada 8.53 malam semalam.

“Hasil siasatan awal juga mendapati kejadian berlaku pada Febuari lalu. Kita sedang menyiasat kes ini mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, pihak sekolah sudah mengenal pasti kesemua pelajar terbabit serta siasatan terperinci sedang dijalankan.

NSTP sebelum ini melaporkan pelajar Tingkatan Lima sebuah sekolah dipercayai merelakan dirinya dibelasah sekumpulan rakannya ketika menyambut hari lahirnya.

Menerusi rakaman video berdurasi 29 saat yang tular di media sosial itu, kira-kira lapan pelajar lain menyanyikan lagu 'happy birthday to you' kepada rakan mereka di dalam kelas sebelum bertindak memukulnya.

Selain ditendang, pelajar terbabit turut dipukul oleh beberapa rakannya dengan menggunakan batang penyapu.

NSTP difahamkan, sambutan sedemikian adalah 'tradisi' bagi segelintir pelajar di sekolah itu dan kejadian berlaku pada Februari lalu.

Berita berkaitan

'Tradisi birthday' konon

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 April 2018 @ 4:38 PM