Fairuz Zaidan


PEKERJA kilang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini, atas tuduhan menawarkan kontrak membekal beras yang tidak wujud membabitkan kerugian RM100,000, dua tahun lalu.

Ng Ngui Kee, 44, dari Kuching, Sarawak membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Lee Kim Keat.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menawarkan kontrak membekalkan beras yang tidak wujud kepada Ng Choon Wee, 54, sehingga mangsa menyerahkan wang tunai RM100,000 di Public Bank Jalan Ong Kim Wee pada 30 Jun 2016.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada setahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Azri Zakaria yang melakukan pendakwaan menawarkan jaminan RM50,000 dengan dua orang penjamin.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah dikenakan dengan alasan perlu menanggung isteri, dua anak serta ibu bapa yang uzur.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri setiap bulan di balai polis berhampiran.

Kim Keat turut menetapkan 14 Mei ini untuk tarikh sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 April 2018 @ 2:16 PM
NG Ngui Kee, 44, dari Kuching, Sarawak diiringi anggota polis keluar dari mahkamah selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menawarkan kontrak membekal beras yang tidak wujud ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh. FOTO Rasul Azli Samad
NG Ngui Kee, 44, dari Kuching, Sarawak diiringi anggota polis keluar dari mahkamah selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menawarkan kontrak membekal beras yang tidak wujud ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh. FOTO Rasul Azli Samad