MOHAMAD Sabu (tengah), Aminolhuda (dua kanan) serta Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim (dua dari kiri) ketika sidang media. FOTO Nur Aisyah Mazalan
MOHAMAD Sabu (tengah), Aminolhuda (dua kanan) serta Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim (dua dari kiri) ketika sidang media. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH) masing-masing akan bertanding 20 kerusi, manakala DAP pula 16 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, nanti.

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu, berkata, keputusan berkenaan agihan kerusi itu dimuktamadkan kelmarin.

Namun, katanya, calon yang akan bertanding masih dalam proses akhir dimuktamadkan.

"Keputusan agihan kerusi diputuskan kelmarin dengan PKR dan AMANAH 20 kerusi manakala DAP pula 16 kerusi.

"Selepas ini, ketiga-tiga parti akan berbincang semula bagi memuktamadkan agihan dengan parti lain yang mahu bertanding bersama PH pada PRN Johor, termasuk Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) dan Parti Warisan Sabah (WARISAN).

"Keputusan parti lain bersama PH pada PRN Johor ini akan kita muktamadkan sehari dua ini juga. PH Johor akan membuat pengumuman rasmi apabila semuanya sudah dimuktamadkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sarapan pagi bersama pimpinan PH Johor di Permas Jaya, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi PH Johor merangkap Pengerusi AMANAH Johor, Aminolhuda Hassan dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim.

Mengulas lanjut mengenai kerusi yang akan ditandingi PH pada PRN Johor, Mohamad berkata, 20 kerusi PKR dan AMANAH membabitkan kawasan campuran serta kawasan majoriti kaum.

"DAP pula bertanding di kawasan bandar namun ada juga kerusi di kawasan majoriti kaum," katanya.

Mengulas saranan sesetengah pihak supaya PH bergabung dengan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi PRN Johor, Mohamad berkata, perkara itu tidak pernah dibincangkan setakat ini.

"Isu ini tidak ada dibincangkan dalam Majlis Presiden PH. Setakat ni PH akan bergerak bersama beberapa parti yang akan menyertai kita pada PRN Johor ini.

"Setakat ini tiada permohonan daripada gabungan lain termasuk PN untuk bersama PH bagi menghadapi PRN Johor," katanya.

Dalam pada itu, keputusan Majlis Presiden PH membenarkan penggunaan dua logo iaitu membabitkan logo PKR serta logo PH pada PRN Johor, tidak menimbulkan masalah terhadap gabungan itu.

"Perlu diingat, pembangkang menggunakan logo berbeza pada Pilihan Raya Umum (PRU) sejak 1990 lagi dan hanya mengunakan logo yang sama pada PRU-14 lalu.

"Pengundi sekarang sudah bijak dan bagi kita, ia bukan satu masalah pun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 January 2022 @ 11:14 AM