Penguat kuasa KPDNKK merampas beg Deuter tiruan di tiga premis di Jalan Imbi.
Penguat kuasa KPDNKK merampas beg Deuter tiruan di tiga premis di Jalan Imbi.
Mohd Azam Shah Yaacob


Kuala Lumpur: Sebanyak 150 beg galas jenama Deuter tiruan yang dijual di tiga premis di pusat beli-belah di Jalan Imbi, di sini, dirampas penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dalam operasi dijalankan.

Operasi dijalankan bersama pengedar sah jenama Deuter di negara ini iaitu Universal Fitness & Leisure Sdn Bhd (UFL) dan pemilik jenama itu, Stabilo Malaysia (Stabilo) membabitkan nilai rampasan RM30,000.

Pengarah Urusan UFL, Datuk Radha Krishnan dalam satu kenyataan, di sini, semalam berkata, kegiatan penjualan produk Deuter tiruan itu dikesan hasil maklumat awam mengenai kebanjiran produk berkenaan di pasaran.

Katanya, beg galas itu dijual sebagai produk asli dan kebanyakan pembeli tertipu apabila mendapati kualitinya sangat teruk kerana produk dibeli lebih mudah koyak berbanding jenama asli yang tahan lasak.

“Berpandukan maklumat yang kami ada, UFL dan Stabilo menjalin kerjasama erat dengan KPDNKK untuk menjalankan lebih banyak serbuan terhadap produk tiruan menggunakan jenama Deuter.

“Sejujurnya, saya kesal apabila usaha kami memasarkan barangan berkualiti diambil kesempatan pihak tidak bertanggungjawab yang ingin mengaut keuntungan mudah,” katanya.

Radha berkata, pihaknya kini dalam usaha membanteras penjualan beg galas tiruan di pasaran dan berharap orang ramai membeli daripada wakil pengedar serta penjual sah bagi mengelak ditipu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 April 2018 @ 9:10 AM