Chenta Nur Sumayyah bersama adiknya, Muhammad Aqil Sudais. FOTO IHSAN NURUL AIN JAWAHIR MD ISA
Chenta Nur Sumayyah bersama adiknya, Muhammad Aqil Sudais. FOTO IHSAN NURUL AIN JAWAHIR MD ISA
Redzuan Muharam


Kubang Pasu: "Biar Chenta yang sakit, bukan adik," itu antara luahan Chenta Nur Sumayyah Mohamad Jefri kepada ibunya, Nurul Ain Jawahir Md Isa.

Kata-kata itu diungkapkan Chenta Nur Sumayyah, 8, kerana tidak sanggup melihat adiknya, Muhammad Aqil Sudais, 4, terus menderita akibat sindrom Synder-Robinson iaitu penyakit genetik menyebabkan masalah abnormal pada otot dan tulang yang dialami sejak berumur enam bulan.

Kasih sayang Chenta Nur Sumayyah Mohamad Jefri terhadap adiknya, Muhammad Aqil Sudais sangat mendalam dan buktinya dapat dilihat menerusi satu video yang tular di TikTok baru- baru ini.

Menerusi rakaman video berkenaan, Chenta dilihat menangis teresak-esak menangis selepas pulang dari sekolah kerana mendakwa rakannya mengejek adiknya Orang Kurang Upaya (OKU).

Menceritakan kisah itu, Nurul Ain Jawahir, 30, dari Kampung Pida 8, Ayer Hitam, di sini berkata, anak sulungnya, Chenta Nur Sumayyah sangat menyayangi Muhammad Aqil Sudais jadi cepat terusik apabila ada yang menyentuh perihal adiknya itu.

"Pulang dari sekolah tempoh hari, Chenta (nama panggilan) terus menangis teresak-esak dan mengadu ada kawan mengejek adiknya OKU.

"Saya pun turut sedih mendengar ceritanya dan minta dia bersabar namun emosinya agak terganggu waktu itu hingga tak nak pergi ke sekolah.

"Enggan membiarkan keadaan itu berterusan, saya ke sekolah berjumpa dengan cikgu untuk minta nasihatkan Chenta dan murid berkenaan. Alhamdulillah, semuanya sudah selesai dan Chenta juga semakin okay," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Nurul Ain Jawahir, Chenta Nur Sumayyah sangat rapat dengan Muhammad Aqil Sudais kerana mereka dua beradik saja. Jadi hanya ada satu sama lain.

Nurul Ain Jawahir berkata, ketika di rumah, Chenta Nur Sumayyah tidak boleh berenggang dengan Muhammad Aqil Sudais dan rajin membantu menjaga adiknya itu.

"Kalau tidak ke sekolah, hampir 24 jam Chenta dengan Aqil (nama panggilan) kerana terlalu sayang adiknya yang juga ada sawan, masalah buah pinggang rosak, susah buang air besar dan pelbagai komplikasi.

"Dia (Chenta) sensitif orangnya dan tak boleh orang cakap macam-macam tentang Aqil. Lagipun,Chenta pernah tengok sendiri adiknya itu diserang sawan jadi itu yang membuatkan dia trauma serta takut kehilangan Aqil.

"Ketika di rumah, Chenta yang bantu saya jaga Aqil dan tolong bancuhkan susu jika saya tertidur. Chenta memang kakak yang baik kerana sanggup simpan duit belanja sekolahnya untuk Aqil kerana bimbang saya tak cukup duit belikan adiknya susu,"katanya.

Berhubung kisah yang tular, Nurul Ain Jawahir berkata, anak saudaranya, Anis Yusrina Shahira Yusof yang memuat naik video asal di TikTok.

"Terkejut dan tak sangka boleh tular namun saya anggap perkongsian itu cara untuk tunjukkan kasih sayang Chenta kepada adiknya.

"Ada juga kecaman diterima apabila segelintir netizen katakan saya cuba nak glamor sedangkan tiada niat pun untuk cari publisiti.

"Bagaimanapun, ada juga yang beri sumbangan kepada Aqil selepas video berkenaan tular. Apa pun, ribuan terima kasih diucapkan kepada yang beri semangat buat Chenta dan kami

sekeluarga," katanya.

#kw adik, anak, sayang, video, tiktok, ayer hitam, kubang pasu, kedah

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Jun 2023 @ 9:01 PM