Mohd Fared melakukan tinjauan ke Masjid Taman Pulai Indah di sini, hari ini. FOTO IZZ LAILY HUSSEIN
Mohd Fared melakukan tinjauan ke Masjid Taman Pulai Indah di sini, hari ini. FOTO IZZ LAILY HUSSEIN
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Kerajaan negeri menafikan siling Masjid Taman Pulai Indah di sini, runtuh seperti yang ditularkan di media sosial sejak semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, kejadian kira-kira jam 10 malam kelmarin itu berlaku apabila beberapa keping panel siling terjatuh ketika kerja-kerja menurunkan keseluruhan siling masjid sedang dijalankan.

"Kami ke masjid yang didakwa mengalami keruntuhan siling dan alhamdulillah rupa-rupanya cerita menyatakan siling itu runtuh tidak tepat.

"Sebenarnya apa yang berlaku ialah lebih kurang seminggu yang lalu, dua panel siling jatuh, jadi atas situasi itu pihak pengurusan masjid mengambil tindakan bertanggungjawab dengan menghubungi perunding dan membuat pelantikan kontraktor.

"Selepas tinjauan dan pemeriksaan penuh, mereka dinasihatkan supaya keseluruhan siling itu diturunkan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini," katanya selepas melakukan tinjauan di masjid berkenaan, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (Jainj), Jamaludin A Hamid.

Mohd Fared berkata, pihak pengurusan masjid hanya mengambil langkah keselamatan dan siling itu terjatuh ketika kerja pembaikan sedang buat.

"Ini langkah yang sangat baik tanda pihak masjid sangat bertanggungjawab, memahami keperluan keselamatan jemaah.

"Jainj dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) diarahkan untuk melakukan pemeriksaan terperinci bagi memastikan aspek keselamatan di masjid berkenaan pada masa hadapan.

"Kira harap kerja ini dapat diselesaikan secepat mungkin, walaupun siling belum diganti, tetapi selagi mana bumbung dan asasnya selamat, mungkin ruang solat boleh digunakan selagi tidak mengganggu keselamatan jemaah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 September 2023 @ 5:17 PM