ANGGOTA APM membantu mangsa pindah ke Pusat Pemindahan Banjir Desa Coalfields.
ANGGOTA APM membantu mangsa pindah ke Pusat Pemindahan Banjir Desa Coalfields.
Suzaini Sulaiman

Kuala Selangor: Penyakit angin ahmar yang dihidapinya lebih setahun lalu menyebabkan seorang penduduk berdepan kesukaran untuk ke lokasi lebih selamat apabila banjir melanda Kampung Seri Sentosa pagi semalam.

Bagaimanapun, Ahmad Kini, 55, bernasib baik apabila dia bersama lebih 10 ahli keluarga lain dipindahkan seawal jam 10 pagi ke Pusat Pemindahan Banjir Desa Coalfields dengan bantuan beberapa anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) menggunakan bot, memandangkan paras air semakin naik.

Dia yang berkerusi roda dan tinggal bersama enam ahli keluarga lain berkata, mereka sekeluarga terpaksa ke pusat pemindahan kali ini ekoran paras air mencecah betis.

Katanya, sebelum ini, dia tidak pernah berpindah ke pusat pemindahan banjir sebelum ini walaupun kawasan kediaman dinaiki air.

“Tahun ini kali kedua kami dilanda banjir dan keadaan air tinggi di sesetengah tempat. Namun, demi keselamatan penduduk sememangnya kami perlu berpindah ke lokasi lebih selamat.

“Mujur ada penyelamat seperti APM serta agensi lain yang membantu,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim, ketika ditemui di lokasi berkata, kejadian banjir sejak pagi itu adalah kali kedua melanda Kampung Seri Sentosa tahun ini.

Katanya, selain dua kejadian sejak awal tahun, kampung itu pernah enam kali mengalami banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Mac 2018 @ 4:42 AM