Siti Faridah memangku Ahmad Fawwaz yang mengalami masalah jantung berlubang sejak dilahirkan sementara Ahmad Bukhari memangku Ahmad Fayyadh. FOTO Zuhainy Zulkiffli
Siti Faridah memangku Ahmad Fawwaz yang mengalami masalah jantung berlubang sejak dilahirkan sementara Ahmad Bukhari memangku Ahmad Fayyadh. FOTO Zuhainy Zulkiffli
Zuhainy Zulkiffli

IBU muda kepada bayi yang mengidap penyakit jantung berlubang merayu sumbangan orang ramai bagi menampung kos pembedahan anaknya.

Bayi berkenaan, Ahmad Fawwaz Ahmad Bukhari berusia lapan bulan, didapati mengalami masalah jantung berlubang sejak dilahirkan dan memerlukan kira-kira RM60,000 bagi menampung kos pembedahan.

Ibunya, Siti Faridah Abdul Halim, 24, dari Permatang Pauh berkata, sejak itu dia berulang alik dari rumahnya ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) bagi membuat pemeriksaan kesihatan anak sulung daripada dua beradik itu.

Suri rumah itu berkata, Ahmad Fawwaz mempunyai pasangan kembar, Ahmad Fayyadh yang dilahirkan sihat.

"Memang menyedihkan apabila melihat Ahmad Fawwaz yang masih kecil terpaksa mengambil tiga jenis ubat setiap hari dan kerap keletihan ketika bermain-main dengan Ahmad Fayyadh.

"Dia dijangka menjalani pembedahan pada 30 Mac ini. Justeru, saya berharap supaya ia berjalan lancar dan mahu melihat dia membesar dengan sihat bersama pasangan kembarnya," katanya ketika ditemui di Pusat Perubatan Gleneagles, hari ini.

Suami Siti Faridah, Ahmad Bukhari Abdul Halim, 24, berkata pendapatannya sebanyak RM2,300 sebagai juruteknik tidak cukup bagi menampung kos pembedahan terbabit.

"Kami sudah tidak sanggup melihat penderitaannya dan berharap dengan sumbangan orang ramai dapat membantu mengurangkan kesakitan Ahmad Fawwaz," kata Ahmad Bukhari.

Sumbangan boleh disalurkan menerusi tabung MEDIA PRIMA-NSTP HUMANITARIAN FUND di akaun Maybank 514105323170.

Cek juga boleh dihantar ke alamat Bahagian Kumpulan Komunikasi Korporat, Media Prima Berhad, Tingkat 1, Anjung Riong, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur atas nama pesakit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Mac 2018 @ 8:47 PM