Siti Sofia Md Nasir


POLIS Pulau Pinang berjaya membongkar makmal memproses dadah di kondominium di Greenlane, Georgetown dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM3 juta, Isnin lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk A Thaiveegan berkata, dalam serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang, 7.30 malam itu, polis turut menahan empat lelaki berumur 25 hingga 54 tahun, yang dipercayai dalang kegiatan itu.

"Ketika serbuan, kita menemui dan merampas minyak methamphetamine, 128 gram syabu, 590 biji pil ecstasy, 144 gram heroin, selain bahan kimia serta peralatan memproses dadah.

"Nilai rampasan bagi semua bahan terbabit dianggarkan RM3 juta. Kita turut menyita rumah berkenaan dan sedang menyiasat pemilik sebenar kediaman itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di Georgetown, hari ini.

Thaiveegan berkata, empat lelaki yang ditahan dalam serbuan berkenaan adalah rakan karib yang turut mempunyai beberapa rekod jenayah dan kes dadah lampau.

Beliau berkata, polis percaya sindiket berkenaan beroperasi sejak lebih enam bulan lalu dan menghasilkan dadah bagi pasaran beberapa negeri berhampiran.

"Semua suspek direman tujuh hari sehingga Isnin depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Polis akan mengesan saki baki anggota sindiket itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Mac 2018 @ 4:25 PM
A Thaiveegan (tengah) menunjukkan barang pembuatan dadah serta dadah yang dirampas. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
A Thaiveegan (tengah) menunjukkan barang pembuatan dadah serta dadah yang dirampas. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal