BOON Ching (dua dari kiri) diiringi anggota SPRM dibawa masuk ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru.
BOON Ching (dua dari kiri) diiringi anggota SPRM dibawa masuk ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru.
Izlaily Nurul Ain Hussein

Johor Bahru: Seorang pemilik kilang tayar celup dipenjara sehari dan didenda RM14,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam selepas mengaku bersalah memberi rasuah RM300 kepada anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Kluang (MPK), tahun lalu.

Hakim Jailani Rahman menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Law Boon Ching, 43, membuat pengakuan berkenaan sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu dipenjara enam bulan jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa secara rasuah memberi wang tunai RM300 kepada Pembantu Penguatkuasa KP19, Nik Ekbar Effendi Nik Sazali, 31, yang bertugas di MPK sebagai dorongan untuk tidak menutup kilang Kras Tyres Entreprise serta-merta.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Batu Pahat, Kluang, jam 11.20 pagi, 29 November tahun lalu dan dituduh mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Peguam K Bharathi yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan terhadap anak guamnya, mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh dan saman yang sudah dijelaskan kepada MPK.

“Tertuduh mempunyai isteri dan dua anak berusia enam dan tujuh tahun, dia juga menanggung ibu bapa yang masing-masing penghidap kanser dan sakit jantung.

“Sebagai majikan, tertuduh hanya menerima pendapatan RM3,600 dan ada pekerja kilang mendakwa dia belum membayar gaji mereka.

“Anak guam saya juga sudah menjelaskan saman RM3,000 kepada MPK,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Mac 2018 @ 5:40 AM