FOTO hiasan
FOTO hiasan
Junaidi Ladjana


KEPALANYA ditumbuk bertubi-tubi, manakala rambutnya pula ditarik sehingga menyebabkan luka dan berdarah selain belakangnya dipukul dengan kerusi besi.

Begitu penderitaan terpaksa ditanggung seorang wanita apabila dibelasah suaminya di sebuah rumah di Kampung Puru-Puru, Ranau, semalam kerana berang isterinya keluar bersama adik-beradiknya.

Menurut sumber, sebelum kejadian wanita, 34, bersama suaminya pulang ke Ranau untuk bercuti di rumah keluarga suaminya pada Jumaat lalu.

"Mangsa bersama suaminya bekerja di Kota Kinabalu dan pulang ke Ranau untuk bercuti. Ketika berada di dalam bilik berlaku pertengkaran antara mereka pada 11 pagi.

"Suami mangsa kemudian menumbuk kepala isterinya sambil menarik rambut sehingga bahagian tepi kanan kepala mangsa luka dan berdarah," katanya di sini, hari ini.

Sumber berkata, suspek turut memukul belakang isterinya dengan kerusi besi.

"Selepas kejadian, mangsa pergi ke Balai Polis Ranau untuk membuat laporan sebelum dirujuk ke Hospital Ranau bagi rawatan lanjut.

"Suspek difahamkan sudah pulang ke rumah mereka di Kota Kinabalu. Punca kejadian dipercayai disebabkan suaminya marah terhadap mangsa kerana berhubung dan keluar bersama adik-beradiknya," katanya.

Difahamkan, ini adalah perkahwinan kali kedua mangsa, dan mendakwa sering dipukul oleh suaminya yang panas baran, namun tidak pernah membuat laporan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ranau Deputi Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2018 @ 3:44 PM