KELIBAT harimau dilihat berkeliaran di Lepar, Gambang. FOTO Ihsan Perhilitan
KELIBAT harimau dilihat berkeliaran di Lepar, Gambang. FOTO Ihsan Perhilitan
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


PENDUDUK sekitar Lepar, Gambang, Pahang mula gusar susulan dakwaan harimau belang berkeliaran di kawasan itu.

Harimau belang atau dikenali sebagai Harimau Malaya dewasa itu dikesan muncul di Lepar, Gambang sebelum saksi berjaya merakam gambar haiwan buas itu.

Gambar harimau itu kemudian tersebar melalui media sosial sebelum Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) segera mengambil tindakan.

Ketua Pengarah Perhilitan Datuk Abdul Kadir Abu Hashim yang dihubungi berkata, pihaknya dimaklumkan berhubung penemuan haiwan dilindungi itu di kawasan berkenaan.

Menurutnya, kakitangan Perhilitan Pahang sudah dihantar ke lokasi kejadian pada malam semalam dan pagi hari ini untuk melakukan pemantauan.

"Satu pasukan khas Perhilitan turut diarah untuk membuat tinjauan di sekitar lokasi harimau itu dilihat muncul.

"Beberapa ‘camera trap' (kamera) turut dipasang di kawasan berkenaan bagi mengumpul maklumat selain memastikan jumlah sebenar harimau yang berada di kawasan itu," katanya.

Abdul Kadir berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat haiwan dilindungi itu perlu menjauhkan diri serta segera menghubungi Perhilitan.

Katanya, pihaknya tidak menafikan isu penerokaan tanah untuk pertanian selain pencerobohan hutan menjadi punca hidupan liar kerap ditemui merayau keluar dari habitat asal.

Ini termasuk haiwan liar lain seperti tapir, gajah dan babi hutan.

"Ketika ini, dianggarkan populasi Harimau Malaya adalah antara 250 hingga 340 berdasarkan kajian dijalankan oleh Perhilitan dengan kerjasama WWF-Malaysia, WCS dan MYCAT di tiga habitat utamanya di Semenanjung Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Mac 2018 @ 11:24 PM