BERNAMA

PENGERUSI Education Malaysia Global Service (EMGS) Datuk Abdul Rahman Mohamed Shariff mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini terhadap pertuduhan terbabit dalam pengubahan wang haram berjumlah RM150,000, dua tahun lalu.

Abdul Rahman, 63, yang juga seorang bekas Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Pengurusan Ilmu membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Faiz Dziyauddin.

Mengikut pertuduhan, Abdul Rahman didakwa terbabit dalam pengubahan wang haram dengan memindahkan wang berjumlah RM150,000 daripada akaun sebuah bank antarabangsa milik syarikat Mudra Resources Sdn Bhd ke akaun miliknya, yang mana wang itu adalah hasil daripada sesuatu aktiviti haram.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Pusat Perdagangan Kebun Teh pada 24 Disember 2018.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 [Akta 613] yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (1) akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar memohon mahkamah menetapkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin selain pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Peguam Datuk Salehuddin Saidin kemudiannya memohon pasport tidak diserahkan kepada mahkamah kerana anak guamnya mempunyai perniagaan di United Kingdom dan perlu menguruskan perniagaannya di sana.

Mahkamah menetapkan jaminan berjumlah RM30,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan permohonan Salehuddin supaya pasport tertuduh tidak diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah turut menetapkan tarikh 20 Februari ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 January 2020 @ 12:54 PM