SIMON (tengah) menunjukkan sebahagian ikan dirampas daripada tiga bot nelayan Vietnam yang menangkap ikan di perairan negara. FOTO Rosli Ilham.
SIMON (tengah) menunjukkan sebahagian ikan dirampas daripada tiga bot nelayan Vietnam yang menangkap ikan di perairan negara. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham


DALAM tempoh dua jam selepas tiba di perairan negara, tiga bot nelayan Vietnam berjaya mencuri 1.5 tan pelbagai jenis ikan bermutu tinggi.

Bagaimanapun, hasrat nelayan ketiga-tiga bot terbabit untuk terus menyapu hasil laut negara terbantut selepas kegiatan mereka dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), petang semalam.

Timbalan Pengarah Daerah 9 APMM Terenganu Komander Maritim Simon Templer Lo berkata, ketiga-tiga bot itu ditahan pada jarak 123 batu nautika dari Kuala Terengganu.

Menurutnya, semua bot itu ditahan sekitar 12 tengah hari hingga 3 petang dan hasil pemeriksaan mendapati mereka baru tiba beberapa jam dari negara mereka.

"Semua bot itu menyamar sebagai nelayan tempatan dengan mengibarkan bendera Terengganu dan Jalur Gemilang.

"Sebaik anggota kami menghampiri dan membuat pemeriksaan, 40 awak-awak serta tiga tekong berusia 18 hingga 52 itu gagal mengemukakan lesen kebenaran menangkap ikan dan tiada pengenalan diri," katanya pada sidang akhbar di Jeti APMM Kemaman, petang ini.

Simon berkata, semua bot dan nelayan asing itu ditahan serta dibawa masuk ke Jeti APMM Kemaman untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, pihaknya mendapatkan perintah tahanan reman selama 14 hari dan mereka disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959.

Sementara itu, Simon berkata, dalam satu lagi tangkapan 3 pagi semalam, sebuah kapal ditahan bersama 50,000 liter diesel.

“Bot tanpa nombor pendaftaran itu ditahan ketika sedang bersauh pada jarak 110 batu nautika dari Kerteh, Kemaman.

"Siasatan kami mendapati mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen lesen bot serta tidak mempunyai pelepasan perlabuhan dari negara asal dan Malaysia.

"Sembilan kru kapal warga Thailand terbabit gagal mengemukakan pengenalan diri yang sah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2018 @ 5:47 PM