Siti Sofia Md Nasir


SAMBUTAN Tahun Baru Cina pada tahun ini amat bermakna kepada seorang peniaga apabila dia dilepas dan dibebaskan daripada hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Georgetown, hari ini.

Ang Thean Sang, 51, dibebaskan daripada tuduhan mengedar dadah seberat 109.3 gram oleh Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Abdul Wahab Mohamed, selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya, Abdul Wahab berkata, pihak pendakwaan gagal mengemukakan keterangan daripada pegawai penyiasat untuk membuktikan kenderaan yang mengandungi dadah itu dimiliki tertuduh.

"Malah, pihak pendakwaan juga gagal menampilkan pemilik kenderaan sebenar sebagai saksi.

"Pendakwaan dikatakan hanya merakam percakapan pemilik kereta, namun tiada kenyataan keterangan itu dikemukakan kepada mahkamah.

"Justeru, tiada kredibiliti dan bukti kukuh untuk mensabitkan tertuduh dengan pertuduhan," katanya.

Tertuduh yang berasal dari Butterworth didakwa mengedar dadah jenis heroin dan monoacytelmorphines dengan berat keseluruhan 109.3 gram di tempat letak kereta Pangsapuri Seri Melur di Butterworth, 10.30 malam pada 1 November 2015.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39 (2) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding sama, Thean Sang dihukum penjara 3 tahun daripada tarikh tangkap, atas tuduhan memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 4.97 gram di kawasan, waktu dan hari yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun, Thean Sang dibebaskan selepas mengambil kira tempoh hukuman daripada tarikh tangkapan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Noor Azrul Abdul Rahman manakala tertuduh diwakili peguam Tan Guat Cheng.

Thean Sang ketika ditemui berkata, beliau gembira kerana dapat 'makan besar' sempena sambutan Tahun Baru Cina, esok.

"Sudah tentu saya sangat gembira. Akhirnya saya dapat makan besar dan menyambut Tahun Baru Cina bersama keluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 12:22 PM