DUA pegawai polis dibawa ke Mahkamah Khas Reman Seremban. FOTO Iqmal Haqim Rosman
DUA pegawai polis dibawa ke Mahkamah Khas Reman Seremban. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


SPRM tahan dua pegawai polis ditahan selepas meminta rasuah RM3,500 supaya tidak diambil tindakan terhadap lelaki yang memiliki telefon bimbit curi.

Sumber SPRM berkata, Asisten Superintendan (ASP) berusia 38 tahun dan Inspektor, 33, ditahan di dua restoran berasingan di Subang Jaya serta Cheras, semalam dan awal hari ini.

Katanya, pihaknya menerima aduan daripada lelaki pada 3.30 petang kelmarin, mendakwa dihubungi Inspektor dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang.

“Pegawai polis itu memaklumkan pengadu yang berusia 33 tahun perlu membayar RM3,500 jika tidak mahu pekerjanya dituduh di mahkamah kerana memiliki telefon bimbit curi Vivo,” katanya.

Kata sumber SPRM itu, sepasukan anggotanya kemudian ke satu restoran di Subang Jaya dan menahan suspek pada 9.38 malam tadi.

“Ketika tangkapan dilakukan, RM3,500 tunai ditemui bersamanya. Suspek memberitahu RM2,000 akan diberi kepada seorang lagi pegawai polis," katanya.

Berikutan itu, katanya, SPRM melakukan tangkapan kedua ke atas ASP di stu restoran di Cheras, pada 1.25 pagi, Sabtu.

Sementara itu, kedua-dua suspek direman empat hari bermula hari ini hingga Selasa, sebaik permohonan dikemukan Pegawai Penyiasat SPRM, Riduan Kadri di Mahkamah Khas Reman Seremban.

Penolong Pendaftar mahkamah, Haryatie Mohd Saini membenarkan perintah reman itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Ramli Ismail ketika dihubungi mengesahkan mengenai tangkapan namun enggan mengulas lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2018 @ 12:30 PM