ANGGOTA bomba memotong jeriji besi dalam usaha memadamkan kebakaran. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
ANGGOTA bomba memotong jeriji besi dalam usaha memadamkan kebakaran. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
Zatul Iffah Zolkiply


JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu mengambil masa hampir 12 jam untuk memadamkan api di bangunan empat tingkat di Jalan Dalam Kota, Kuala Terengganu, semalam.

Pengarahnya, Azlimin Mat Noor berkata, pihaknya berdepan kesukaran untuk memadamkan kebakaran disebabkan beberapa lapisan jeriji besi dan tingkap di premis berkenaan.

"Kita mengambil masa hampir 12 jam untuk memadamkan api sepenuhnya kira-kira 4 pagi tadi dan terpaksa menggunakan pemotong untuk memotong jeriji besi.

"Apabila kita potong tingkap ada lagi tingkap yang lain. Potong tingkap yang lain ada lagi bahagian yang tak boleh kita masuk. Bila pintu terbuka ada lagi jeriji dan jeriji itu bila kita buka ada lagi halangan daripada bahan-bahan yang disimpan di stor berkenaan.

"Malah, kita turut berdepan risiko letupan daripada bahan mudah terbakar seperti cat dan bahan plastik.

"Operasi memadamkan kebakaran ini membabitkan 70 pegawai dan anggota dari tiga balai bomba berhampiran bersama enam jentera," katanya.

Dalam kejadian lain, wanita warga emas nyaris rentung dalam kebakaran di kedai barangan elektrik di Jalan Dalam Kota, di Kuala Terengganu, pada 4.35 petang semalam.

Bagaimanapun, tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan nyawa wanita berusia 60-an yang juga ibu kepada pemilik kedai berkenaan.

Kebakaran yang berlaku di tingkat dua itu disedari pembantu kedai, Mohd Azizul Rosli, 26, ketika mahu mengambil barang di tingkat berkenaan.

Mohd Azizul yang melihat asap segera turun dan melaporkan kejadian itu kepada anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Kota yang terletak kira-kira 20 meter dari premis berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2018 @ 4:40 PM