Ismail Sabri (kanan) bersama Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman ketika Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Peringkat Tertinggi KKLW - Kerajaan Negeri Sabah. FOTO Khairull Azry Bidin
Ismail Sabri (kanan) bersama Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman ketika Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Peringkat Tertinggi KKLW - Kerajaan Negeri Sabah. FOTO Khairull Azry Bidin
Norasikin Daineh


SIASATAN Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penyelewengan RM1.5 bilion dana peruntukan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) tidak menjejaskan pelaksanaan projek di bawah kementerian berkenaan.

Menteri KLW Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, siasatan terbabit hanya membabitkan kes lama.

"Tiada kesan kepada kementerian dan semuanya kes lama... tiada kaitan dengan projek baru," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Antara Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dengan Exco-Exco Luar Bandar (MEXCLUB) di Kota Kinabalu, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa bersikap terbuka dan bersedia sekiranya SPRM ingin melakukan siasatan berhubung projek baharu yang dilaksanakan oleh kementerian.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya mempunyai prosedur tertentu bagi mengurangkan risiko penyelewengan yang pernah berlaku dalam kementerian itu.

"Pemantauan untuk mengurangkan isu berkaitan kita sudah laksanakan dan kita sudah tetapkan jawatankuasa-jawatankuasa supaya dapat meminimumkan perkara yang pernah berlaku dalam kementerian.

"Kalau kita dapat hapuskan lebih baik tetapi sekurang-kurangnya kita dapat kawal dari segi penyelewengan dan sebagainya dalam kementerian," katanya.

SPRM sebelum ini menahan reman 13 individu di Sabah dan Putrajaya termasuk Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Bagaimanapun, semua individu berkenaan sudah dibebaskan daripada tahanan reman.

Malai Rosmah Tuah

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2018 @ 5:14 PM