Dzulkifli dan Azam (kanan) ditemui media di pekarangan Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, Kota Kinabalu. FOTO Mohd Adam Arinin
Dzulkifli dan Azam (kanan) ditemui media di pekarangan Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, Kota Kinabalu. FOTO Mohd Adam Arinin
Norasikin Daineh

SIASATAN Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penyelewengan dana kementerian di Sabah membabitkan nilai RM1.5 bilion, kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki.

Jumlah itu berdasarkan peruntukan yang disalurkan kementerian terbabit antara 2010 hingga 2016.

Azam berkata, projek berkenaan membabitkan dana sebanyak RM7.5 bilion projek rakyat membabitkan infrastruktur di Sabah.

“Kita menyiasat berkaitan projek rakyat di Sabah membabitkan air, elektrik dan jalan raya. Ini dana daripada kerajaan persekutuan dan kita sedang melihat mungkin ia (projek) tidak sempurna dibuat, mungkin tidak betul dibuat dan kita juga melihat isu rasuah dalam kes ini.

“Dianggarkan lebih 60 syarikat terbabit dan akan disiasat, sebahagiannya sudah disiasat. Dianggarkan bernilai RM1.5 bilion yang dikatakan terlibat tetapi kita akan semak betul-betul," katanya ketika ditemui media di pekarangan pejabat SPRM di Kompleks Pentadbiran Persekutuan Sabah, hari ini.

Azam turut berkata, dana itu diberikan oleh kerajaan persekutuan menerusi projek yang dijalankan di negeri ini.

“Dana ini diberi kepada Sabah untuk projek luar bandar, jadi ia terus kepada projek itu dan barangkali kontraktor memberi rasuah kepada pihak tertentu dalam kes ini.

“Jadi untuk Sabah saja kira-kira RM7.5 bilion untuk enam tahun lalu iaitu sepanjang 2010 hingga 2016," katanya.

Bagaimanapun, Azam enggan mendedahkan nama individu atau kementerian terbabit dalam kes ini.

"Mana-mana saksi yang terbabit kita akan panggil. Saya tidak mahu komen personaliti di sini tetapi yang terbabit dalam siasatan kita akan panggil dan tangkap kalau kita fikir ia suspek.

“Untuk kes ini, kita terima maklumat daripada orang ramai dan bermula daripada siasatan kes Jabatan Air tempoh hari," katanya.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang hadir ketika itu turut berkata, proses siasatan berjalan dengan baik.

"Saya hadir untuk mendengar taklimat perkembangan siasatan dan siasatan berjalan dengan baik," katanya.

Harian Metro semalam melaporkan tiga individu ditahan SPRM berhubung siasatan mengenai penyelewengan dana kementerian di Sabah.

Berita berkaitan

Pemimpin kanan WARISAN antara tiga ditahan SPRM

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2017 @ 2:22 PM