LOKASI mangsa dipercayai terjatuh. FOTO Ihsan APM
LOKASI mangsa dipercayai terjatuh. FOTO Ihsan APM
Mohd Hasbi Sidek


BIARPUN lebih 24 jam insiden berlaku, mangsa yang terjatuh di Gunung Nuang, dekat Hulu Langat, masih belum tiba dibawa ke kaki gunung berkenaan.

Sehingga 2 petang tadi, pihak bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) masih bersiap sedia di kaki bukit dekat Pangsun, Hulu Langat.

‎Beberapa kumpulan penyelamat dilihat mulai turun secara berperingkat dipercayai terdiri daripada pasukan mencari.

‎Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua Razali Hassan tiba kira-kira 2 petang tadi untuk mendapatkan maklumat berhubung kejadian.

‎Sementara itu, Ketua Cawangan Pengurusan dan Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Alimaddia Bukri berkata, mangsa dijangka tiba 6 petang.

‎"Pasukan penyelamat mengalami kesukaran untuk membawa turun mangsa kerana keadaan trek yang licin dan sempit.

‎"Kami menjangkakan mangsa tiba pada 6 petang sebelum pemeriksaan akan dijalankan oleh pasukan perubatan mengenai keadaan mangsa," katanya.

Dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari semalam itu, mangsa yang berusia 40-an dikatakan mendaki gunung berkenaan bersama beberapa rakannya.

‎Mangsa dilaporkan tergelincir sebelum terjatuh ke dalam gaung dengan kedalaman kira-kira 100 meter.

Berita berkaitan

Semoga dipermudahkan...

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2018 @ 3:39 PM