BOMBA mengusung mangsa. FOTO Ihsan Bomba.
BOMBA mengusung mangsa. FOTO Ihsan Bomba.
Hasbi Sidek


DUA belas jam. Itu tempoh terpaksa ditempuh sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rembau untuk menyelamatkan wanita yang patah kaki ketika mendaki Gunung Datuk, dekat Rembau.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Sembilan berkata, pihaknya menerima panggilan jam 8.47 malam semalam, sebelum bergegas ke lokasi dan membuat persiapan untuk mendaki.

“Pasukan bomba mula mendaki dalam keadaan gelap, malam tadi, sebelum menemui mangsa yang berusia 38 tahun bersama rakannya, 8 pagi tadi. Sejurus memberikan rawatan awal, kami membawanya turun menggunakan pengusung.

“Awalnya, kami menjangkakan tiba di kaki gunung kira-kira 12 tengah hari, namun cabaran laluan untuk turun menyebabkan kami tiba 3.30 petang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mangsa dikatakan mula mendaki gunung berkenaan melalui trek Taboh Naning 7 pagi semalam bersama sekumpulan pendaki dari kaki gunung di Tampin.

“Bagaimanapun, ketika mendaki, mangsa dikatakan patah kaki kiri, sebelum mereka menghubungi bomba untuk membantu membawa mangsa turun.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan pendaki untuk memilih waktu sesuai untuk mendaki kerana pada musim hujan, laluan akan menjadi licin dan ia amat berbahaya kepada pendaki, termasuk berisiko untuk jatuh.

“Kami menyarankan orang ramai supaya tidak mendaki gunung ketika musim hujan. Proses penyelamatan untuk membawa mangsa juga akan menjadi sukar sekiranya laluan licin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 November 2019 @ 5:54 PM