Mustafar bersama Timbalan Ketua Pengarah Operasi Imigresen, Datuk Jaafar Mohamed (kanan) menunjukkan surat yang dihantar kepada Kementerian Pendidikan Malaysia. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Mustafar bersama Timbalan Ketua Pengarah Operasi Imigresen, Datuk Jaafar Mohamed (kanan) menunjukkan surat yang dihantar kepada Kementerian Pendidikan Malaysia. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Hayati Ibrahim


BUKAN pekeliling tetapi surat penjelasan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) berhubung keperluan pasport atau dokumen perjalanan yang sah bagi tiga kategori kanak-kanak untuk belajar di sekolah kerajaan atau bantuan kerajaan di negara ini.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata, surat penjelasan itu dikeluarkan pada 28 Disember lalu sebagai jawapan kepada surat yang dihantar oleh Bahagian Pengurusan Sekolah Harian KPM bertarikh 28 November 2017.

"Saya ingin menjelaskan, kami tidak pernah mengeluarkan arahan melarang warga asing tanpa negara untuk bersekolah menerusi sebarang pekeliling, apa yang dikeluarkan oleh kami adalah surat penjelasan seperti yang diminta KPM sendiri.

"KPM meminta kami menjelaskan tiga kategori iaitu kanak-kanak yang memerlukan dokumen; tidak memerlukan memiliki pasport atau dokumen perjalanan yang sah dan penjelasan lanjut ke atas kanak-kanak yang berstatus bukan warga negara tetapi sudah memohon taraf kewarganegaraan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Imigresen di Putrajaya, hari ini.

Kenyataan itu diberikan bagi memberi penjelasan mengenai laporan media seorang kanak-kanak, G Darshana berusia tujuh tahun di Seremban, Negeri Sembilan dihalang menghadiri sesi persekolahan kerana tidak memiliki pasport.

Laporan itu menyebut, keluarga angkat kanak-kanak itu sudah memohon kerakyatan anaknya yang didakwa diambil secara sah dan menunggu kelulusan.

Mustafar berkata, bertitik tolak dari situ, JIM memberi penjelasan kepada KPM melalui satu surat yang disalahertikan sebagai pekeliling.

Antara lain surat berkenaan menjelaskan berdasarkan Akta dan Peraturan Imigresen, pasport adalah satu keperluan untuk mana-mana rakyat asing masuk dan berada di Malaysia.

Sehubungan itu, kanak-kanak asing yang lahir di dalam atau di luar Malaysia memerlukan pasport yang sah mengikut negara masing-masing bagi membolehkan satu pas dikeluarkan untuk berada dan tinggal di negara ini.

Hanya kanak-kanak bertaraf warga negara Malaysia tidak memerlukan pasport untuk berada di negara ini.

Sementara kanak-kanak berstatus bukan warga negara tetapi sudah memohon taraf warga negara tetap memerlukan pasport mengikut negara masing-masing hingga mendapat taraf kewarganegaraan Malaysia.

"Memang tiada sekatan (untuk belajar), ketetapannya ialah mereka boleh belajar tetapi dokumen (yang diperlukan) mesti diselesaikan dengan KPM, bukan di bawah bidang kuasa kami.

"Kami menjelaskan apa kedudukan atau keberadaan kanak-kanak di negara ini, saya juga sudah menjelaskan perkara ini kepada Menteri Pendidikan, semalam (kelmarin)," katanya.

Mustafar berkata, KPM sendiri pernah mengeluarkan satu surat pekeliling iktisas Bil 1 2009, bertajuk Kemasukan Kanak-Kanak Warga Negara Malaysia Tanpa Dokumen ke Sekolah pada 11 Mac 2009 yang dihantar kepada semua Pengarah Pelajaran Negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2018 @ 5:23 PM