Izlaily Nurul Ain Hussein


LELAKI yang dipercayai teman lelaki kepada ibu kanak-kanak mangsa dera di Kulai, direman lagi tujuh hari.

Reman terhadap lelaki berusia 23 tahun itu dilanjutkan selepas mahkamah membenarkan permohonan pegawai penyiasat kes bagi menjalankan siasatan lanjut.

Tempoh reman itu bermula esok hingga 19 Januari ini.

Terdahulu, lelaki yang tidak bekerja itu ditahan reman tujuh hari bermula 6 Januari lalu dan berakhir hari ini.

Siasatan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada 3 Januari lalu, Harian Metro melaporkan kanak-kanak berusia dua tahun dihantar ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI), Kulai oleh ibunya pada 7.30 malam dalam keadaan tidak bernafas dan terdapat pendarahan di kedua-dua belah telinganya.

Kanak-kanak lelaki itu kemudian disahkan meninggal dunia sebelum kakitangan hospital menghubungi polis kerana mengesyaki dia didera.

Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat pendarahan di kedua-dua belah telinga mangsa selain kesan lebam di bahagian kepala sebelah kirinya.

Terdapat juga kesan lebam lama di bahagian belakang badan mangsa dan terdapat takungan air di kerongkongnya.

Ibu dan nenek kepada mangsa terlebih dahulu ditahan polis di hospital berkenaan kira-kira jam 8 malam pada hari kejadian.

Dua hari kemudian, suspek lelaki itu ditahan polis pada 4.30 petang di Taman Putri, Kulai, bagi membantu siasatan.

Nenek mangsa berusia 56 tahun dan ibunya yang juga remaja 18 tahun kini masih dalam tahanan reman hingga 17 Januari ini.

Berita berkaitan

Teman lelaki ibu ditahan

Ibu, nenek disambung reman

'Nenek mangsa menyayanginya'

Ibu dan nenek direman seminggu

Semoga syurga untukmu...

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2018 @ 3:14 PM