GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Petah Wazzan Iskandar


KEMENTERIAN Pendidikan meluluskan tambahan 126 sekolah yang akan melaksanakan Program Dwibahasa (DLP) minggu depan.

Perkara itu diumumkan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, hari ini.

Kelulusan terbabit mampu memperkasakan sistem pendidikan yang dimahukan ibu bapa.

Katanya, sebelum ini 1,303 sekolah, termasuk 88 sekolah baru akan melaksanakan Program Dwibahasa (DLP) minggu depan.

"Disember lalu, kita menerima permohonan 214 sekolah yang mahu melaksanakan DLP tetapi hanya 88 sahaja yang lulus.

"Namun pada hari ini, saya ingin memaklumkan baki 126 sekolah yang tidak diluluskan dibenarkan dan diluluskan untuk melaksanakan DLP.

"Saya berpendapat apabila semua sekolah memenuhi empat syarat pelaksanaan DLP dengan mendapat sokongan ibu bapa, maka ia wajar diluluskan dan saya yakin sekolah yang sebelum ini tidak diluluskan hanya menghadapi sedikit masalah teknikal," katanya selepas melawat seorang penduduk di Perumahan Awam Kampung Baru, Kuala Nerang, hari ini.

Mahdzir berkata, kelulusan ini menjadikan keseluruhan 1,429 sekolah yang akan melaksanakan DLP.

Ketika ditanya sama ada sekolah yang baru diluluskan ini akan berdepan masalah, Mahdzir berkata, pihaknya yakin apabila semua sekolah ini memohon untuk melaksanakan DLP maka ia sudah pastinya menunjukkan sekolah terbabit sudah bersedia.

"Malah paling utama adalah ibu bapa yang mahukan DLP dilaksanakan di sekolah anak mereka. Kita mencatatkan peningkatan setiap tahun dan ini jelas menunjukkan ia mendapat permintaan tinggi ibu bapa.

"Kebanyakan ibu bapa sangat meminati DLP kerana ia mampu memberi peningkatan penguasaan Bahasa Inggeris sekali gus membolehkan anak mereka pergi jauh untuk meneroka dunia ilmu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2018 @ 2:23 PM