KEADAAN banjir di Pekan. FOTO NSTP
KEADAAN banjir di Pekan. FOTO NSTP
Asrol Awang


Kuantan: Penduduk yang terjejas akibat banjir di Pahang menurun kepada 11,413 mangsa daripada 3,039 keluarga yang kini ditempatkan di 126 pusat penempatan sementara (PPS) di lapan daerah di negeri ini, setakat 8 pagi ini.

Berbanding petang semalam, portal info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan 14,320 mangsa banjir daripada 3,879 keluarga ditempatkan 128 PPS.

Berdasarkan rekod, Pekan mencatatkan jumlah paling ramai iaitu 3,290 mangsa daripada 924 keluarga; diikuti Temerloh, 3,140 mangsa (776 keluarga) dan Maran, 2,066 mangsa (587 keluarga).

Di Bera pula merekodkan 1,601 mangsa daripada 440 keluarga: Lipis, 353 mangsa (93 keluarga); Kuantan, 841 mangsa (188 keluarga); Jerantut, 73 mangsa (22 keluarga) dan Raub, 49 mangsa (sembilan keluarga).

Laporan infobanjir.water.gov.my turut memaklumkan tiga sungai masih lagi melepasi paras bahaya iaitu Sungai Jelai, Jeram Bungor, Lipis; Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran dan Sungai Pahang di Serambi (Paloh Hinai), Pekan.

Di Sungai Pahang, Pekan pula melepasi paras berjaga-jaga.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan notis angin kencang timur laut pula melebihi 60 kilometer sejam dengan ombak setinggi melebihi 4.5 meter dijangka berlaku di perairan Pahang hingga Sabtu ini.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora itu adalah berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2021 @ 9:11 AM