Rohaida Omar


REMAJA lelaki ditemui lemas ketika mandi di anak sungai bersama lima rakannya di kebun getah di Kampung Gajah, Manek Urai, Kuala Krai, petang tadi.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, Muhamad Aiman Syafiq Baharudin, 13, ditemui tidak sedarkan diri oleh penduduk kampung 15 minit selepas lemas.

Kakitangan Klinik Kesihatan Manek Urai yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia sebelum mayat dibawa ke Hospital Kuala Krai.

Kakak mangsa, Anis Farhana Baharudin, 25, berkata, adiknya keluar rumah 2 petang untuk bermain basikal bersama rakannya di kawasan perumahan mereka.

Katanya, secara tiba-tiba dia dikejutkan dengan kedatangan jiran yang memaklumkan adiknya lemas.

"Saya terus bergegas ke lokasi kejadian dan adik saya hanya ditemui 15 minit dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia.

"Saya difahamkan, sebelum itu adik menggelongsor daripada tebing berselut ke sungai dan terus tidak timbul. Rakannya yang berada di lokasi kejadian terus mendapatkan bantuan daripada penduduk kampung," katanya.

Menurutnya, sebelum kejadian arwah tidak menunjukkan perubahan drastik namun dilihat cukup berselera makan.

"Pemergiannya amat dirasai namun kami reda dengan ketentuan Ilahi.

"Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gajah Temiang," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Krai Superintedan Abdullah Roning mengesahkan menerima laporan kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2018 @ 7:59 PM