Wan Asrudi Wan Hasan

KOPERAL polis dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Kangsar hari ini atas tuduhan mencuri wang sebanyak RM200 daripada orang awam pada Julai tahun lalu.

Tertuduh Sa'dat Abdul Manab bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Azhar Fariz Ahmad Khairuddin.

Dia yang bertugas di bahagian Unit Peronda Lebuharaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) didakwa melakukan kesalahan itu pada 13 Julai 2016, 4.40 petang di Kilometer 243.5 Leburaya Utara Selatan menghala ke selatan berhampiran Kuala Kangsar dengan mencuri wang RM200 milik Muhammad Alif Sahar, 24.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Tertuduh dibawa ke mahkamah. FOTO/ Effendy Rashid
Tertuduh dibawa ke mahkamah. FOTO/ Effendy Rashid

Pendakwaan dijalankan oleh R Kumuthambal dan Nurul Wahida Jalaluddin manakala tertuduh diwakili M Kathan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Kumuthambal memohon mahkamah menetapkan wang jaminan sebanyak RM8,000 bersama penjamin bagi kesalahan yang dilakukan.

Bagaimanapun, Kathan memohon makhamah mengurangkan jaminan kerana tertuduh mempunyai tanggungan keluarga.

Mahkamah memerintahkan wang jaminan sebanyak RM8,000 serta seorang penjamin dan menetapkan 11 Januari ini bagi sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2017 @ 12:44 PM