Hafidzul Hilmi Mohd Noor

PASANGAN kekasih warga Vietnam berusia 29 tahun ditahan polis bersama 60 paket pati jus buah-buahan dicampur dadah ekstasi dianggarkan bernilai RM12,000.

Mereka diberkas polis di sebuah kondominium di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Jumaat lalu.

Ketua Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Adnan Azizon berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 54 tahun bersama 24 botol cecair dipercayai dadah jenis Methaphetamine.

Beliau berkata, semua suspek ditahan dalam operasi khas dilakukan JSJN Kuala Lumpur kira-kira jam 5.20 petang.

"Semua suspek dipercayai menjadi pengedar di bandar raya ini dan menjual bahan terlarang itu pada harga RM250 sepaket.

"Siasatan awal mendapati suspek menyasarkan pengunjung kelab malam sebagai pelanggan utama,"katanya pada sidang media di IPK Kuala Lumpur hari ini.

Adnan berkata, serbuk ekstasi yang dicampur dalam jus buah-buahan limau bertujuan mengaburi siasatan pihak berkuasa.

"Polis percaya semua bekalan dadah berkenaan adalah untuk pasaran tempatan dan polis kini giat mengesan ahli sindiket pengedaran dadah berkenaan.

"Semua suspek yang ditahan direman selama tujuh hari sehingga 28 Disember ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Adnan Azizon menunjukkan dadah dalam bentuk cecair yang dirampas. Foto oleh Aswadi Alias.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Disember 2017 @ 5:41 PM
Adnan Azizon menunjukkan 24 botol cecair dipercayai dadah jenis Methaphetamine.
Adnan Azizon menunjukkan 24 botol cecair dipercayai dadah jenis Methaphetamine.