Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


IBU bapa dan adik perempuan kepada tiga beradik yang terbunuh dalam kemalangan di Jalan Kuantan-Pekan, dekat Kampung Batu Putih di Kuantan, hari ini, menerima berita sedih itu ketika melakukan tawaf dalam ibadat umrah.

Menurut seorang daripada saudara terdekat mangsa yang ingin dikenali sebagai Basir berkata, kejadian itu dimaklumkan mereka kepada keluarga mangsa melalui ejen pengurusan umrah pagi tadi.

“Saya difahamkan ketika kami maklumkan kepada ejen pengurusan umrah itu, ibu bapa mangsa, Rosnani Ibrahim dan Wan Kamaruzzaman Wan Mohamad serta adik perempuan, Wan Nur Aqilah sedang melakukan tawaf.

“Mereka reda dengan kejadian menimpa Wan Nur Athirah, Wan Nur Afifah dan Wan Muhammad Mahathir Rafiqi, mereka juga memutuskan untuk kembali ke Malaysia bagi melihat insan tersayang buat kali terakhir,” katanya kepada pemberita di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, hari ini.

Basir berkata, keluarga itu dijangka tiba ke tanah air kira-kira 11 pagi esok sebelum pulang ke Kemaman.

Dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu, semua mangsa berusia 14 hingga 27 tahun maut di tempat kejadian selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Chery Eastar dinaiki hilang kawalan sebelum melanggar penghadang batu dan terjunam ke dalam parit.

Kejadian itu turut menyebabkan ibu saudara mereka, Salmah Ibrahim, 58, dan sepupu Nurul Aliani Zawawi, 25, mengalami kecederaan dan dirawat di unit kecemasan HTAA.

Ketika kejadian mereka dalam perjalanan dari Melaka ke Kampung Padang Lalang Binjai, Kemaman, selepas menghantar ibu bapa mereka ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur bagi menunaikan umrah, kelmarin.

Basir berkata, jenazah tiga beradik terbabit akan dibawa ke Hospital Kemaman malam ini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tok Kapur, Binjai, Kemaman.

Berita berkaitan

[UPDATE] 'Tak tahu bagaimana nak maklumkan...'

3 beradik ajal bersama

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Disember 2017 @ 7:06 PM