Amirul Aiman Hamsuddin


Sungai Besar: Dua beradik terpaksa berahsia dengan ibu mereka ketika membawa warga emas itu ke Program Pemberian Vaksin Rakyat Prihatin di sini, hari ini.

Basir Hassan, 69, dan kakaknya, Zaiyan, 75, memberitahu ibu mereka, Hawa Yeop Abdul Rahman, 92, bahawa mereka akan ke klinik untuk membuat pemeriksaan kesihatan.

Basir berkata, mereka tidak memberitahu perkara sebenar kerana enggan merunsingkan hati si ibu selain, vaksinasi bertujuan untuk melindungi Hawa dan menjamin kesihatannya.

"Kami terpaksa melakukan cara begini demi kebaikan dan untuk kesihatan ibu kerana warga emas berisiko tinggi apabila dijangkiti Covid-19.

"Dalam perjalanan tadi, saya beritahu ibu, 'kita ke klinik' dan apabila tiba di sini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Datuk Imran Tamrin sendiri menyambut kami dan membawa ibu masuk dengan kerusi roda.

"Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar," katanya pada program itu yang dilaksana di Bangunan UMNO Bahagian Sungai Besar di sini.

Basir berkata, ibunya yang menghidap darah tinggi dan kurang daya ingatan tidak pernah mendaftar sebagai penerima vaksin dan menerima dos pertama hari ini.

Menurutnya, galakan daripada Zaiyan yang juga bekas penolong jururawat telah memberi keyakinan kepada ibunya untuk mengambil vaksin itu.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Dalam pada itu, Imran berkata, seramai 150 penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Panjang yang masih belum menerima janji temu vaksin, mendaftar untuk menerima suntikan vaksin berkenaan di bawah kendalian DUN itu.

Beliau juga menjangkakan kira-kira 70 peratus penduduk di situ akan melalui proses vaksinasi menjelang September ini dengan pihaknya giat mengesan penduduk yang belum menerima vaksin demi membantu negara mewujudkan imuniti berkelompok.

"Difahamkan warga emas yang sudah menerima suntikan vaksin ini melebihi 60 peratus, cuma bakinya kita berusaha kesan dan perlu pergi rumah ke rumah untuk meyakinkan mereka.

"Mungkin ada dalam kalangan mereka takut atau tidak yakin dengan keberkesanan vaksinasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 5:50 PM