Gambar hiasan. FOTO Syamsi Suhaimi
Gambar hiasan. FOTO Syamsi Suhaimi
Hazira Ahmad Zaidi


JABATAN Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan meramalkan risiko banjir besar tidak akan berlaku di negeri ini walaupun beberapa kawasan di timur Semenanjung akan dilanda Ribut Tropika Kai-tak bermula hari ini hingga 24 Disember ini.

Pengarahnya, Kamal Mustapha berkata, dalam tempoh berkenaan, pihaknya menjangkakan tidak ada peningkatan paras air di beberapa sungai utama dan bacaannya berada di paras normal.

Katanya, kadar hujan di kawasan pedalaman di bawah 60 milimeter (mm) sehari dan kemungkinan banjir tidak akan berlaku walaupun berterusan selama dua hari, namun ia bergantung kepada taburan hujan

“€œWalaupun tidak ada hujan, kemungkinan besar akan berlaku angin kencang. Penduduk diminta berwaspada walaupun kelajuan angin dijangka berlaku dengan kadar berkurangan.

"Namun, di sekitar kawasan pantai mungkin berlaku kenaikan aras air laut kesan daripada ribut tropika ini,”€ katanya ketika dihubungi, di sini.

Kamal berkata, amaran angin kencang dan laut bergelora di perairan Kelantan dan Laut Cina Selatan dilanjutkan sehingga 25 Disember ini.

Katanya, pihaknya menasihatkan kepada semua penduduk terutama mereka yang tinggal di pesisir pantai supaya sentiasa berjaga-jaga.

“€œIni disebabkan mereka terdedah kepada fenomena air pasang besar serta angin kencang,”€ katanya.

Beliau berkata, maklumat berkenaan Ribut Tropika Kai-tak dikemaskini setiap tiga jam di laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia (MMD) dan aplikasi myCuaca.

Sementara itu, mengikut MMD amaran cuaca berwaspada dikeluarkan berikutan kehadiran Ribut Tropika Kai-tak yang dijangka melanda kawasan timur dan utara Semenanjung.

Ia akan menyebabkan berlakunya angin kencang melebihi 50 kilometer sejam (kmsj) dengan ombak melebihi 3.5 meter (m) dijangka berlaku di perairan Pantai Timur Semenanjung, Sabah dan Sarawak dalam tempoh itu.

Di Kelantan antara kawasan yang terbabit adalah Kota Bharu, Pasir Puteh, Machang, Bachok, Pasir Mas, Tumpat, Jeli, Tanah Merah, Gua Musang, dan Kuala Krai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2017 @ 11:50 AM