Antara kereta yang disita kerana terbabit dalam perlumbaan haram. FOTO ihsan polis
Antara kereta yang disita kerana terbabit dalam perlumbaan haram. FOTO ihsan polis
Nur Saliawati Salberi


LIMA pemandu ditahan selepas dipercayai terbabit dengan perlumbaan haram di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh, Melaka Tengah, malam tadi.

Operasi yang diadakan selama lapan jam bermula 11 malam hingga 8 pagi itu dijalankan anggota Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dan Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.

Ketua JSPT negeri Superintendan Mohd Sham Abdullah berkata, lelaki berusia antara 21 hingga 30 tahun itu ditahan selepas polis membuat risikan sebelum mengepung kawasan berkenaan.

"Mereka didapati memandu dalam keadaan melulu dan berbahaya selain kenderaan digunakan juga diubahsuai.

"Selain itu, kereta dipandu mereka masing-masing Proton Satria, Proton Putra, Proton Wira dan Honda Civic disita," katanya.

Mohd Sham berkata, mereka direman selama empat hari sehingga 20 Disember ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Selain itu, dalam operasi sama sebanyak 42 saman turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Disember 2017 @ 4:38 PM