DEVAMANY  dan Syed Yasir Arafat (tengah) bersama murid Sekolah Kebangsaan Bukit Lanjan Damansara Perdana yang menerima bantuan persekolahan 2018, semalam.
DEVAMANY dan Syed Yasir Arafat (tengah) bersama murid Sekolah Kebangsaan Bukit Lanjan Damansara Perdana yang menerima bantuan persekolahan 2018, semalam.
Norhadiani Baharom


Petaling Jaya: Seramai 56 murid Sekolah Kebangsaan Bukit Lanjan Damansara Perdana, dekat sini, menerima bantuan persekolahan sempena program ILTIZAM Back-to-School anjuran Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas), semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir berkata, ILTIZAM Back-to-School adalah program tanggungjawab sosial korporat Ekuinas yang dijalankan sejak tahun lalu, bertujuan menyumbang kelengkapan persekolahan kepada murid kurang berkemampuan melakukan persediaan persekolahan pada 2018.

Katanya, sumbangan berupa kelengkapan beg sekolah, pakaian seragam sekolah, kasut, stoking dan alat tulis setiap seorang bagi meringankan beban kos sara hidup keluarga terutama anak daripada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Program seumpamanya pernah kami anjurkan buat kali pertama tahun lalu di mana kami memberi sumbangan kepada lebih 1,000 murid di 10 negeri,” katanya pada majlis sumbangan itu.

Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri S K Devamany.

Syed Yasir Arafat berkata, kelancaran pelaksanaan program itu disokong padu rakan kongsi Ekuinas, iaitu jenama pakaian Canggih, Al-Ikhsan Sports and Skuad Senyum.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Disember 2017 @ 8:09 AM