Ahmad Zahid mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin kali ke-18 di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, hari ini. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Ahmad Zahid mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin kali ke-18 di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, hari ini. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Hayati Ibrahim


LIMA lagi termasuk dua kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan tiga ahli sindiket ditahan, semalam, kerana dipercayai terbabit dengan aktiviti penyeludupan masuk imigran warga Bangladesh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dua daripada ahli sindiket yang ditahan adalah pasangan suami isteri yang mana suami adalah warga negara asing manakala isteri warga Malaysia.

"Sementara seorang lagi adalah warganegara asing. Tangkapan terbaharu ini menjadikan jumlah keseluruhan tujuh individu sudah ditahan kerana dipercayai terbabit dalam aktiviti ini.

"Tangkapan ini dibuat JIM dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin kali ke-18 Bil 3/2017 di Putrajaya, hari ini.

Turut hadir Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot dan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, susulan kes ini, JIM sudah memindahkan kira-kira 40 peratus daripada 1,500 kakitangannya yang bertugas di KLIA.

Katanya, tempat mereka digantikan dengan kakitangan JIM dari pejabat imigresen lain untuk bertugas di kaunter di KLIA.

Menurutnya, tindakan ini harus diambil dengan segera bagi membersihkan imej JIM dan mereka yang menjejaskan imej jabatan dengan bersekongkol dengan sindiket luar akan dibanteras sepenuhnya.

"(Ternyata keputusan) kerajaan melantik Datuk Seri Mustafar Ali yang dulu bertugas di SPRM sebagai Ketua Pengarah JIM adalah satu tindakan proaktif yang kita lakukan supaya imej yang dikotorkan oleh setitik dua nila sehingga merubah warna susu sebelanga JIM ini memberikan keberhasilan.

"Saya ucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Mustafar yang mengambil tindakan tegas, biarpun dari segi pentadbiran beliau ialah Ketua Pengarah tetapi dalam bidang tugas beliau banyak turun ke bawah untuk memantau soal penguatkuasaan dan pelaksanaan terhadap beberapa prosedur operasi standard (SOP) yang sudah ditentukan," katanya.

Ahmad Zahid berkata, ia bagi memastikan permasalahan yang selama ini berlaku di JIM dapat dipulihkan dan SOP sedia ada serta perundangan yang terdapat dalam Akta Imigresen dapat dipatuhi sepenuhnya.

Sehubungan itu, beliau berharap Mustafar dan pegawainya melaksanakan langkah selanjutnya bagi memastikan imej JIM bertambah baik.

"Kita harap apa yang dilakukan Ketua Pengarah dapat memberikan suatu gambaran kerajaan cukup serius dalam menangani semua permasalahan yang berlaku.

"Tetapi pada masa sama, kita mengucapkan tahniah dan syabas kepada pegawai dan kakitangan JIM yang tidak terbabit serta melakukan tugas dengan amat baik hingga mereka boleh mengeluarkan pasport dalam tempoh satu jam dan perbaharui pasport dalam tempoh 15 minit serta permohonan secara dalam talian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2017 @ 2:53 PM