NAJWA (kanan) bersama rakannya ketika majlis Penyerahan Keputusan PT3 2017 di SMK Putrajaya Presint 16 (1).
NAJWA (kanan) bersama rakannya ketika majlis Penyerahan Keputusan PT3 2017 di SMK Putrajaya Presint 16 (1).
Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Kesungguhan seorang pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 16(1) di sini bangun jam 3 pagi setiap hari untuk mengulang kaji pelajaran terbalas apabila memperoleh 10A dan 1B dalam Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

Najwa Nur Iman Asmi, 15, yang juga anak kedua daripada tiga beradik berkata, dia mengulang kaji pelajaran pada waktu awal pagi sejak tingkatan dua.

“Sebaik bangun, saya terus mengambil wuduk dan menunaikan solat sunat hajat selain berdoa dipermudahkan Allah untuk menerima ilmu serta diterangkan hati.

“Kemudian, saya akan mengulang kaji pelajaran sehingga jam 5 pagi serta tidur semula selepas itu,” katanya ketika ditemui di SMK Putrajaya Presint 16(1) di sini, semalam.

Seramai 171 pelajar tingkatan tiga dari sekolah berkenaan menerima keputusan masing-masing.

Najwa Nur Iman berkata, dia juga sentiasa menumpu perhatian kepada guru di dalam kelas serta bertanya jika ada perkara yang tidak difahami.

“Saya juga belajar secara berkumpulan bersama rakan dari kelas sama dan kelas lain memandangkan kami berkawan sejak sekolah rendah.

“Saya berhasrat menyambung persekolahan di sini dan ingin mengambil bidang sains tulen kerana cita-cita saya mahu menjadi doktor,” katanya.

Pengetua SMK Putrajaya Presint 16(1) Ab Aziz Mamat berkata, ibu bapa seharusnya melihat secara keseluruhan Pelaporan Profil Murid Tingkatan Tiga 2017 yang diserahkan kepada anak mereka serta tidak hanya menumpukan kepada peperiksaan PT3 sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2017 @ 3:07 AM