Bekas Timbalan JANS   diiring pegawai SPRM setelah prosiding pendakwaan terhadap 146 pertuduhan pengubahan wang haram RM32.923 juta.
Bekas Timbalan JANS diiring pegawai SPRM setelah prosiding pendakwaan terhadap 146 pertuduhan pengubahan wang haram RM32.923 juta.
Fardy Bungga


Kota Kinabalu: Bekas Timbalan Pengarah Jabatan Air Sabah (JANS) dihadapkan di Mahkamah Sesyen, bagi menghadapi 146 pertuduhan pengubahan wang haram RM32.923 juta.

Tertuduh Teo Chee Kong, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nixon Kennedy Kumbong.

Semua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 4 (1) (a) dan Seksyen 4 (1) (b) Akta Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Bagi Seksyen 4 (1) (a), Teo berdepan 78 pertuduhan kerana kesalahan memiliki 70 bidang tanah hasil daripada aktiviti haram menerusi 78 transaksi dengan nilai pindah milik RM12.705 juta.

Baki 68 pertuduhan lagi dibuat mengikut Seksyen
4 (1) (b) dengan enam kesalahan memiliki wang tunai daripada aktiviti haram RM7.93 juta, termasuk RM1.978 juta dalam bentuk mata wang asing.

Sebanyak 62 pertuduhan lagi membabitkan kesalahan memiliki wang dalam akaun bank hasil daripada aktiviti haram di lapan institusi kewangan yang berjumlah RM12.287 juta.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan antara 2010 hingga 2016, melalui penerimaan wang rasuah yang membabitkan projek JANS.

Pada posiding semalam, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman, manakala Teo diwakili peguam Roland Cheng dan Hamid Ismail.

Terdahulu, Tengku Amir memohon mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM10 juta terhadap tertuduh atas alasan kes berkenaan mempunyai banyak pertuduhan dan membabitkan kepentingan awam.

Bagaimanapun, Hamid memohon mahkamah supaya mengurangkan jaminan itu atas alasan anak guamnya sentiasa memberi kerjasama kepada pihak berkuasa sepanjang siasatan.

“Saya memohon jaminan dikurangkan kepada RM1 juta dengan deposit RM500,000.

Nixon kemudian membenarkan Teo dibebaskan dengan jaminan ikat jamin RM1.5 juta dengan dua penjamin tempatan dan wang deposit RM500,000.

Beliau turut mengarahkan Teo menyerahkan pasport dan melaporkan diri di pejabat SPRM setiap Sabtu.

Kes ditetapkan untuk pengurusan kes pada 16 Januari tahun depan.

Teo yang pernah ditahan SPRM bagi membantu siasatan penyelewengan agihan projek bekalan air di Sabah tahun lalu ditahan semula di satu lokasi jam 12.30 tengah hari, kelmarin.

Pada 29 Disember tahun lalu, bekas Pengarah JANS Awang Mohd Tahir Mohd Talib, 54, isterinya, Fauziah Piut, 51, dan seorang lagi bekas timbalan pengarah
di jabatan itu, Lim Lam Beng, 62, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas 37 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan nilai RM61.57 juta.

Kes terhadap tiga tertuduh lain itu ditetapkan untuk perbicaraan mulai 5 Februari tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2017 @ 9:34 AM