MANSOR meninggalkan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas menghadapi 58 pertuduhan berhubung pengubahan wang haram bernilai RM 9.22 juta antara Disember 2008 hingga Mei 2015. FOTO Eizairi Shamsudin
MANSOR meninggalkan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas menghadapi 58 pertuduhan berhubung pengubahan wang haram bernilai RM 9.22 juta antara Disember 2008 hingga Mei 2015. FOTO Eizairi Shamsudin
Farah Marshita Abdul Patah

Kuala Lumpur: Ketua Umno Bayan Baru, Pulau Pinang, Datuk Ir Mansor Musa yang sebelum ini didakwa atas 106 pertuduhan pengubahan wang haram di Butterworth, sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas 58 pertuduhan sama bernilai RM9.22 juta.

Mansor, 58, yang juga Pengerusi Koperasi Tunas Muda Sungai Ara Bhd bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Terdahulu, tertuduh yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Batu Maung tiba di mahkamah kira-kira jam 7.30 pagi.

Menurut pertuduhan pertama hingga ke-42, Mansor didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram antaranya menerima wang dalam bentuk tunai, menggunakan wang hasil daripada aktiviti haram untuk pembelian saham, rumah dan pembayaran kepada kontraktor melalui syarikat yang berbeza.

Dia didakwa 42 pertuduhan di bawah Seksyen 4 (1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA 2001) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun, atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bagi pertuduhan ke-43 hingga ke-58 tertuduh didakwa menerima, mengguna dan memindahkan wang daripada sebuah syarikat yang merupakan hasil aktiviti haram.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001), yang boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali hasil kegiatan haram atau RM5 juta, atau mana lebih tinggi.

Dia dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di Public Bank cawangan Jalan Raja Chulan dan Starpac Point serta RHB Bank Berhad cawangan KLCC di sini antara Disember 2008 hingga Mei 2015.

Pada prosiding itu, pendakwaan diketuai Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Faridz Gohim Abdullah bersama Muhammad Asraf Mohamed Tahir manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Selva Mookiah.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM200,000 dengan seorang penjamin dan 26 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Isnin lalu, Mansor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth atas 106 pertuduhan rasuah bernilai lebih RM11 juta membabitkan kesalahan sama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 3:11 PM