Kalidevi Mogan Kumarappa dan Nabihah Kamal dan Nurul Hidayah Bahaudin


“BARU sebulan saya menghantar bapa dalam keadaan koma ke pusat jagaan ini," kata Leow, 40-an, anak kepada seorang daripada lima mangsa yang terbakar dalam kejadian kebakaran di pusat jagaan orang tua di Sungai Long, Kajang, hari ini.

Menurut Leow, dia menerima panggilan daripada pekerja pusat jagaan berkenaan mengenai insiden itu kira-kira 8 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, dia menempatkan ayahnya, Leow Chong Fatt, berusia 60-an, di pusat jagaan terbabit kerana ia terletak berhampiran dengan kediamannya.

"Saya tempatkan ayah di pusat jagaan itu dengan bayaran sebanyak RM3,000 sebulan, selepas dia koma akibat sakit.

"Sebaik menerima panggilan itu, saya amat terkejut sebelum bergegas ke lokasi kejadian dan dimaklumkan ayah terperangkap di dalam pusat jagaan itu dan disahkan meninggal dunia akibat sesak nafas," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Dalam kejadian kira-kira 4 pagi itu, empat warga emas dan seorang warden meninggal dunia selepas rumah banglo dua tingkat yang dijadikan sebagai pusat jagaan orang tua terbabit terbakar.

Berita berkaitan

Lima maut di Kajang

Pusat jagaan tiada permit

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2017 @ 3:46 PM