Farah Suhaidah Othman


PEMANDU lori ais yang terbabit dalam kemalangan meragut sembilan nyawa di Kilometer 45, Jalan Ayer Kuning - Mambang Diawan dekat Tapah kelmarin, ditahan polis untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, pemandu lori berusia 22 tahun itu yang luka serta cedera di kaki serta kepala, dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

“Pemandu lori itu bagaimanapun dibenarkan keluar hospital pada 7.30 malam tadi sebelum dia dibawa ke Pejabat Trafik Daerah Tapah.

“Lelaki itu ditahan pada 9.51 malam untuk siasatan lanjut dan sampel darah sudah diambil untuk ujian kimia," katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Dalam kejadian 6.40 pagi itu, sembilan maut termasuk pemandu van selepas dirempuh lori yang membawa muatan ais.

Semua mangsa yang maut berusia antara 33 hingga 82 tahun, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2017 @ 12:00 AM