SEORANG kanak-kanak ditenangkan ahli keluarga sebelum berkhatan di Seberang Takir, semalam.
SEORANG kanak-kanak ditenangkan ahli keluarga sebelum berkhatan di Seberang Takir, semalam.
Helmy Abd Rahman


Kuala Nerus: Seorang kanak-kanak berusia lingkungan 10 tahun yang sepatutnya dikhatankan dalam Program Berkhatan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, tiba-tiba menghilangkan diri selepas mengambil dan memakai kain pelekat milik rakannya di bilik operasi.

Kanak-kanak berkenaan dikatakan melakukan aksi pelik apabila mengelilingi katil beberapa kali sebelum selamba berlalu pergi.

Saksi kejadian, Wan Ahmad Jalalluddin Wan Azmi, 30, berkata, bapa kanak-kanak itu yang berusia sekitar 40-an dilihat beredar untuk mencarinya.

“Bagaimanapun, sehingga jam 12 tengah hari tadi (semalam), kelibatnya masih belum kelihatan. Tak pasti pula sama ada budak itu sempat dikhatankan atau tidak,” katanya.

Dalam majlis itu, seramai 193 kanak-kanak di DUN Seberang Takir menyertai Program Berkhatan Beramai-Ramai di Pusat Rehabilitasi Telaga Daing, Seberang Takir di sini. Turut diadakan serentak ialah program bertindik yang disertai 187 kanak-kanak perempuan.

Peserta berkhatan diraikan dengan siraman air oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman sebagai tanda simbolik sebelum diarak beramai-ramai menuju ke bilik berkhatan.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Razif berkata, Bantuan Persekolahan Terengganu bagi sesi 2018 mula diagihkan pertengahan bulan ini.

“Permohonan dalam talian ditutup dan proses saringan dilakukan jawatankuasa di pejabat daerah bagi memastikan hanya mereka yang layak menerima bantuan ini,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri meningkatkan jumlah agihan dana kepada RM14 juta untuk 120,000 pelajar berbanding RM10.9 juta yang diberikan kepada 109,880 pelajar bagi sesi persekolahan 2017.

“Memang jumlah dana sentiasa ditingkatkan setiap tahun bagi meringankan beban keluarga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2017 @ 10:04 AM