Muhamaad Razis Ismail


BIARPUN kawasan perkampungan dinaiki air, lebih 60 penduduk di sekitar Kampung Simpangan, Bendang Pak Yong dan Kampung Jambu, Tumpat tetap menunaikan solat Jumaat di Masjid Mukim Simpangan Hilir, di sini, dengan menaiki bot, hari ini

Penduduk dilihat bergilir-gilir menaiki bot milik penduduk dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan.

Seawal 12.30 tengah hari, mereka dilihat sudah berada di masjid terbabit untuk menunaikan solat Jumaat.

Banjir yang melanda kawasan ini sejak tiga hari lalu akibat limpahan Sungai Golok menenggelamkan laluan dan pekarangan masjid sedalam 1.5 meter.

Imam masjid, Ismail Awang Mat, 67, berkata, setiap hujung tahun kawasan ini akan dinaiki air setiap kali musim tengkujuh.

Katanya, hari ini, dia menyampaikan khutbah mengenai Maulidur Rasul.

"Januari lalu kita sudah alami situasi sama namun air tidak masuk ke dalam masjid dan solat Jumaat tetap dijalankan seperti biasa.

"Kebiasaannya 100 jemaah hadir, namun hari ini agak kurang kerana ada yang sudah berpindah, ke pusat pemindahan sementara.

"Bagaimanapun saya bersyukur solat Jumaat dapat dilakukan hari ini" katanya.

Hadir sama menunaikan solat Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubor Mat Razi Mat Ail dan Pengarah JBPM Kelantan Nazili Mahmood.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2017 @ 3:06 PM
SEBAHAGIAN jemaah yang datang menunaikan solat Jumaat di Masjid Mukim Simpangan Hilir di Tumpat hari ini. FOTO Muhamaad Razis Ismail
SEBAHAGIAN jemaah yang datang menunaikan solat Jumaat di Masjid Mukim Simpangan Hilir di Tumpat hari ini. FOTO Muhamaad Razis Ismail