PENDUDUK keturunan Siam tidak melepaskan peluang bersalaman dan merakamkan gambar Najib.
PENDUDUK keturunan Siam tidak melepaskan peluang bersalaman dan merakamkan gambar Najib.
Oleh Maiamalina Mohamed Amin

Tumpat : Sebagai tanda penghargaan sokongan masyarakat Siam Kelantan terhadap kerajaan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam meluluskan peruntukan RM1 juta bagi pembinaan dewan komuniti, di sini.

Najib membuat pengumuman itu di hadapan kira-kira 2,000 masyarakat Siam di Wat Machimmaram, Jubakar, di sini. Turut hadir, Setiausaha Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Pengerusi BN Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed.

"Sukacita saya umumkan kelulusan untuk pembinaan dewan komuniti masyarakat Siam, di sini, dengan peruntukan berjumlah RM1 juta.

"Pemberian ini sebagai tanda penghargaan kerajaan BN kita atas sokongan masyarakat di sini sehingga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor kita menang dengan majoriti besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK), baru-baru ini.

"Lawatan saya ke sini juga dengan jelas mahu menyatakan ucapan terima kasih kerana anda memberikan sokongan yang luar biasa kepadanya," katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Selepas majlis itu, Najib turut meluangkan masa solat Asar berjemaah dengan penduduk di Masjid Simpangan, Pengkalan Kubor dan melawat Pondok Simpangan yang diasaskan ADUN Pengkalan Kubor Mat Razi Mat Ail.

Menurut Najib, sokongan luar biasa masyarakat Siam Kelantan terbukti apabila undian dalam PRK Pengkalan Kubor, 25 September lalu menunjukkan hampir 90 peratus berpihak kepada BN berbanding PAS dan Bebas.

"Jarang-jarang kita boleh dapat peti undi (dalam pilihan raya) yang lebih kurang 90 peratus menyokong BN.

"Malah ADUN Pengkalan Kubor Mat Razi datang berjumpa baru-baru ini memberitahu salah satu faktor kemenangannya adalah sokongan padu masyarakat Siam dan ini tidak dapat dinafikan lagi," katanya.

Dalam pada itu, Najib berbesar hati untuk kembali lagi ke Tumpat dalam Majlis Terima Kasih Orang Siam yang dirancang Disember nanti seperti dimaklumkan Wakil Masyarakat Siam yang juga Ahli Dewan Negara Senator Datuk Boon Som Inong.

Katanya, kerajaan memberi jaminan akan terus membantu masyarakat Siam di Kelantan dan tempat lain di seluruh negara.

Sementara itu, Boon berkata, masyarakat Siam di sini sudah lama mahukan dewan komuniti untuk mereka melakukan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

"Hari ini (semalam) hasrat itu termakbul. Dewan ini akan dibina dengan kapasiti yang lebih besar supaya orang Siam sini boleh mengadakan kenduri atau aktiviti kemasyarakatan yang lain.

"Sebelum ini ada meminta supaya Kabinet memberi peruntukan untuk kita memperkukuh bahasa Siam dan Datuk Seri Najib meluluskan RM1 juta untuk tempoh lima tahun sehingga 2018," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Oktober 2014 @ 3:36 AM