DR Abdul Rahim (kiri) bersama rakannya menunjukkan sijil dan trofi yang diterima pada Majlis Perasmian Penutup & Penyampaian Hadiah Karnival Inovasi UTeMEX 2017 di UTeM, Ayer Keroh.
DR Abdul Rahim (kiri) bersama rakannya menunjukkan sijil dan trofi yang diterima pada Majlis Perasmian Penutup & Penyampaian Hadiah Karnival Inovasi UTeMEX 2017 di UTeM, Ayer Keroh.
Shaiffulazhar Misri

Melaka: Mesin diagnos dan pengimbas kesihatan dibangunkan sekumpulan penyelidik daripada Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), mendapat perhatian pihak industri serta majikan berikutan mampu membantu mengesan masalah kesihatan dialami seseorang pesakit dengan lebih mudah.

Menggunakan mesin sama, pegawai kesihatan boleh melakukan imbasan untuk mengetahui kesan semasa pada bahu lutut atau bahagian badan lain yang cedera atau terjejas akibat kemalangan terdahulu.

Ketua kumpulan penyelidik itu, Prof Madya Dr Abdul Rahim Abdullah berkata, mesin berkenaan dibangunkan sejak setahun lalu dengan kerjasama daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

“Saya bersama empat lagi ahli kumpulan membina mesin ini bagi memudahkan lagi PERKESO mengesan dan mengenal pasti masalah kesihatan dialami oleh individu mencarum dengan mereka.

“Pada peringkat awal, mesin ini dioperasikan secara manual, namun sekarang ditukar kepada automatik sepenuhnya, malah pembinaan mesin ini mengikut piawaian ditetapkan PERKESO,” katanya ketika ditemui pada Majlis Innovation Carnival: UTeMEX 2017 di Kampus Teknologi, Ayer Keroh, di sini, kelmarin.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Tan Sri Dr Noorul Ainur Mohd Nur.

Abdul Rahim berkata, walaupun mendapat perhatian pihak industri dan majikan, pihaknya perlu menjalankan kajian secara terpeinci dan menaik taraf mesin berkenaan sebelum dikomersialkan.

Beliau berkata, kumpulannya komited untuk membangunkan mesin berkenaan kerana ia mampu menyumbang kepada peningkatan kualiti sistem pekerjaan semasa di negara ini.

DR Noorul Ainur (dua dari kiri) melawat Karnival Inovasi UTeMEX 2017.
DR Noorul Ainur (dua dari kiri) melawat Karnival Inovasi UTeMEX 2017.

Sementera itu, Dr Noorul Ainur berkata, institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan sekarang dilihat semakin aktif dalam membangunkan projek inovasi berfaedah untuk tujuan pengkomersialan.

“Kami menerusi Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) dan Unit pengkomersialan pula membina jaringan dengan sektor mempunyai hubung kait dengan produk inovasi dibangunkan IPT berkenaan.

“Sekarang ini, pelbagai geran ditawarkan kerajaan menerusi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) bagi pembangunan serta kajian projek inovasi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2017 @ 6:51 AM