Seorang paderi warga Korea yang bisu dan pekak dan pernah dihadapkan ke mahkamah sebelum ini atas tuduhan mencabul, hari ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan mencabul seorang lelaki kurang upaya (OKU) 20 tahun lalu. FOTO Danial Saad
Seorang paderi warga Korea yang bisu dan pekak dan pernah dihadapkan ke mahkamah sebelum ini atas tuduhan mencabul, hari ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan mencabul seorang lelaki kurang upaya (OKU) 20 tahun lalu. FOTO Danial Saad
BERNAMA

Georgetown: Seorang paderi warga Korea yang bisu dan pekak dan pernah dihadapkan ke mahkamah sebelum ini atas tuduhan mencabul, hari ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan mencabul seorang lelaki kurang upaya (OKU) 20 tahun lalu.

Jee Jon Hoon, 55, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan melalui jurubahasa Korea dan jurubahasa isyarat antarabangsa di hadapan Majistret Rosnee Mohd Ridzuan.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu ke atas mangsa yang berumur 30 tahun ketika kejadian, di sebuah rumah di Gelugor, pada 2000.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Azlin Zeti Zainal Abidin manakala tertuduh diwakili peguam Sobini Kobu.

Mahkamah menetapkan 15 Mac depan untuk serahan dokumen.

Pada 18 Disember lalu, tertuduh turut didakwa di Mahkamah Majistret Butterworth atas dua pertuduhan mencabul dua lelaki OKU, tujuh tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Februari 2021 @ 3:26 PM