Anggota Angkatan Pertahanan APM) Kubang Pasu, Rose Kamini Arif Pazilah (kiri) membantu mangsa banjir, Shahrom Ali, 60 menerima rawatan akibat tergelincir dirumahnya pagi tadi yang banjir di Pusat Pemindahan Banjir Kampong Bata. NSTP/SHARUL HAFIZ ZAM
Anggota Angkatan Pertahanan APM) Kubang Pasu, Rose Kamini Arif Pazilah (kiri) membantu mangsa banjir, Shahrom Ali, 60 menerima rawatan akibat tergelincir dirumahnya pagi tadi yang banjir di Pusat Pemindahan Banjir Kampong Bata. NSTP/SHARUL HAFIZ ZAM
Zuliaty Zulkiffli


SEORANG wanita lebam di betis kanan selepas tergelincir ketika hendak mengambil barang di rumahnya yang dinaiki air di Kampung Paya Tok Teh, Jitra, hari ini.

Shahrom Ali, 60, dari Kampung Paya Tok Teh berkata, dia menyedari air mula masuk ke rumahnya pada jam 4 pagi selepas pintu rumah diketuk penduduk kampung yang memberitahu kampung itu dilanda banjir.

Menurutnya, sebaik membuka pintu dia nampak air memenuhi pekarangan rumah dan mengalir ke ke rumahnya.

Katanya, dia dan suami, Ismail Ariffin, 70, serta anak bongsu, Nor Alisya Masali, 16, keluar dari rumah menunggu di Dewan Kampung Bata sementara pusat pemindahan sementara (PPS).

"Namun, kami bersyukur kerana perabot masih disimpan di tingkat atas rumah ekoran banjir gelombang pertama September lalu," katanya ketika ditemui di PPS Kampung Bata.

Shahrom berkata, ketika banjir pertama dulu air naik paras lutut tetapi kali ini hingga ke paras pinggang.

"Saya berharap supaya air surut dengan cepat dan bimbang jika hujan lebat berterusan kerana ia akan menyebabkan paras air Sungai Bata meningkat dan boleh menenggelamkan kawasan rumah kami," katanya.

Shahrom berkata, dia sempat menyelamatkan tiga angsa dan 12 ayam yang diletakkan di atas para di luar rumah bagi mengelakkan ditenggelami air.

Sementara itu, Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Kamarulzamal Kasa berkata, aliran air sungai kini melimpah ke kawasan Jitra dan menjejaskan lima kampung di Kampung Bata, Paya Tok Teh, Kampung Biak, Kampung Paya Kerchut dan Kampung Pahana.

Katanya, setakat jam 9 malam lima PPS dibuka iaitu di Kampung Lahar, Dewan Kampung Bata, Dewan Kubur Siam, Dewan Jitra dan Dewan Tokong Cina.

"Dia Kampung Lahar seramai 130 orang daripada 30 keluarga dipindahkan manakala di Kampung Bata, seramai 278 mangsa daripada 72 keluarga.

"Di Dewan Kubur Siam terdapat 49 keluarga seramai 175 orang manakala Dewan Jitra dan Dewan Tokong Cina menempatkan 85 mangsa daripada 26 keluarga dan 50 mangsa daripada 18 keluarga masing-masing," katanya.

Sementara itu, katanya, tiga PPS di Changlun iaitu di Kampung Kubang Betong, SMK Changlun dan Kampung Tebing ditutup sepenuhnya jam 4 petang selepas semua 176 mangsa dibenarkan pulang pagi tadi apabila air surut sepenuhnya di kawasan itu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kubang Pasu Datuk Seri Mohd Johari Baharum yang turut meninjau mangsa berkata, punca kejadian banjir ini disebabkan hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu selain longkang tersumbat dengan sampah sarap serta pembalakan haram di Kampung Wang Perah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2017 @ 11:20 PM