HM Digital

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V mengingatkan graduan bahawa menjadi orang berilmu adalah satu rahmat dan kelebihan serta amanah yang mesti dipikul dan digunakan sebaik-baiknya.

Seri Paduka bertitah, dengan iringan ilmu bermanfaat, baginda yakin graduan akan dapat menyumbang kepada agama, bangsa dan negara.

Titah baginda, graduan juga perlu bersyukur kepada Ilahi dan berterima kasih kepada ibu bapa yang banyak berdoa dan berusaha untuk kejayaan mereka.

“Graduan juga hendaklah menjadi insan yang menghargai jasa pensyarah dan jurulatih ketenteraan agar ilmu dipelajari dan diwarisi bertambah berkat.

“Beta juga mengingatkan kepada seluruh warga Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) akan tanggungjawab bersama dalam menentukan masa hadapan dan memahat sejarah gemilang universiti.

“Legasi kegemilangan UPNM perlu diperkukuhkan dan dipertahankan. Institusi ini perlu terus kekal relevan seiring masa,” titah baginda dalam Istiadat Pemasyhuran Canselor dan Konvokesyen Kelapan UPNM 2017 di Dewan Tun Templer, Kem Sungai Besi di sini, semalam.

Turut berangkat Tunku Pro Canselor UPNM yang juga Tunku Temenggong Kedah Brigedier Jeneral Tan Sri Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Hadir sama Pro Canselor UPNM Jeneral Tan Sri Dr Mohamed Ghazali Mohamed Seth, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan Naib Canselor UPNM Jeneral Tan Sri Prof Zulkifli Zainal Abidin.

Sultan Muhammad V dimasyhurkan sebagai Canselor UPNM yang ketiga menggantikan Yang di-Pertuan Agong ke-14 Sultan Abdul Halim Mu‘adzam Shah Sultan Badlishah.

Pada istiadat itu baginda turut berkenan mengurniakan Ijazah Kehormat Sarjana Pengajian Strategik dan Hubungan Antarabangsa kepada Brigedier Jeneral (B) Datuk Abdul Latif Ahmad.

Sumbangan terbesar beliau kepada negara dan keamanan dunia adalah ketika dalam menjalankan misi menyelamat askar Amerika Syarikat oleh 113 anggota Batalion I Malaysia (MALBATT I) di bawah Operasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Somalia II (UNOSOM II) pada 3 dan 4 Oktober 1993.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2017 @ 9:21 AM